Hati. Aku mula belajar memahami hati. Sedikit demi sedikit
aku selami. Walau tidak sampai ke dasarnya, aku tetap menahan nafas menyelam
jauh ke dalamnya. Mencari jawapan dalam setiap persoalan tentang perasaan dan
kehidupan. Memahami dan cuba mengerti tentang apa yang dianugerahkan Tuhan
kepada aku dalam hari-hari yang aku lalui.
Suatu ketika aku keliru apakah sebenarnya perasaan yang
sering melanda dan mengapa pula ia hadir di waktu pada ketika itu. Persoalan
yang nyata adakah aku bersedia atau sebaliknya.. memberi dan menerima sesuatu
yang dinamakan 'cinta'.
Cinta itu terlalu abstrak untuk digambarkan melalui
kata-kata, apatah lagi menghuraikan maksudnya. Terlalu meliputi segalanya.
Namun yang aku ketahui cinta itu terlalu indah jika dihayati dengan penuh
kebaikan dan kasih serta sayang. Cuba selami setiap lubuk sanubari yang terisi
dengan cinta pasti terus hanyut di dalam keindahan rasa sebuah cinta.
Cinta pada keluarga, cinta pada ayahanda dan ibunda, cinta
pada rasul dan cinta yang hakiki pada Allah. Aku hanya insan biasa, di dalam
hati penuh dengan rasa itu. Cinta pada insan lain. Penuh dengan debaran, penuh
dengan perasaan. Bagiku ianya sukar diluahkan seperti sebuah kata-kata azimat
yang amat mahal harganya. Apatah lagi menyatakan rasa itu kepada insan yang
lain.
Perasaan cinta itu terlalu tulus luhur dari hati bukan untuk
mengisi kepentingan atau kekosongan. Cinta yang suci lahir daripada pandangan
hati bukan pada pandangan mata yang lihat pada keindahan dan kesempurnaan.
Cinta hadir untuk mengisi kekurangan. Menerima kebaikan untuk manfaat bersama
serta kelemahan untuk dibaiki disempurnakan bersama. Itulah cinta yang sejati.
Walau tak sempurna mana pun seseorang itu jika hati telah jatuh cinta pada
pandangan mata hati aku percaya cinta itu suci dan sejati.
Aku memahami cinta bukan memiliki. Meskipun cinta itu tidak berbalas,
aku akan terus mencintai. Cinta itu untuk diberi, dan tiada balasan untuknya.
Cukup hanya mendoakan kebahagiaannya, kejayaannya, di dunia dan di akhirat.
Jauhkan segala musibah dan kesusahan serta kepayahan. Di permudahkan
segala-galanya. Biar dimata aku lihat cinta itu gembira dan bahagia kerana tiap
senyumannya cukup untuk membahagiakan aku. Aku suka perasaan itu.
Pada suatu masa aku pernah jatuh cinta. Aku mengerti cinta
itu memberi kekuatan pada aku. Sejak dari mula hingga sekarang ianya sentiasa
hangat dalam dakapan perasaanku. Aku memahami setiap cebis senyuman yang
dilemparkan dek cinta itu adalah sebuah semangat buatku. Aku mengerti perasaan
rindu akan sentiasa hadir dalam diri kerana rindu dan cinta itu adalah pasangan
yang tidak boleh dipisahkan. Aku faham aku tak dapat buang perasaan ini kerana
aku mengerti cinta itu ibarat sebuah pohon dengan akar tunjang yang tidak dapat
dicabut apabila ia mula tumbuh dibumi. Dan sekarang aku memahami yang aku akan
sentiasa mengerti bahawa cintaku tidak akan luput, lupus hilang sampai
bila-bila...
No comments:
Post a Comment